Ahad, 30 November 2008

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH

ZULHIJJAH merupakan bulan kedua belas di dalam kalendar Islam hijri di samping salah satu daripada empat bulan haram (mulia lagi dihormati) di dalam Islam. Kelebihan bulan-bulan mulia ini disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya ayat 36 surah at-Taubah.Zulhijjah bermaksud yang memiliki haji kerana ibadah haji ditunaikan di dalam bulan berkenaan. Amalan yang mulia ini telah dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. dan diteruskan oleh anak cucunya daripada keturunan Nabi Ismail a.s. berlanjutan sehingga ke zaman Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Kemuncak ibadah haji adalah pada hari Arafah, hari kesembilan di dalam bulan Zulhijjah yang digambarkan sebagai perhimpunan umat Islam yang teragung, lambang kesatuan akidah dan perpaduan, tanpa mengenal batasan pangkat dan harta, kesemuanya mengharapkan keredhaan Allah s.w.t.Antara kelebihan yang dipaparkan oleh Baginda Nabi s.a.w. mengenai permulaan bulan Zulhijjah yang mulia ini, supaya direbut peluang keemasan yang disediakan oleh Allah Taala untuk mereka yang mengharapkan pengampunan Ilahi, diceritakan oleh Ibnu Abbas bahawa Baginda Nabi s.a.w.bersabda : Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah. Para sahabat Baginda bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun. (Riwayat al-Bukhari).Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa baginda bersabda: Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah).Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan daripada Jabir bahawa baginda bersabda: Seutama-utama hari adalah hari Arafah.
Amalan yang dianjurkan pada bulan ini antara lain ialah:

* Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadis yang menyatakan kelebihan ibadah ini.

* Berpuasa pada hari-hari tersebut sekadar kemampuannya, terutamanya pada hari Arafah. Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ia merupakan pilihan Allah sendiri. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abi Qatadah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : Puasa pada hari Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang.

* Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya. Firman Allah yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum). (Al-Haj : 28). Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari pada bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ulama menyarankan supaya diperbanyakkan zikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di antaranya, Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La ilaha illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah).Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq meriwayatkan bahawa para Fuqaha (ahli fikah) di kalangan tabien (generasi selepas sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu (Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illallah, wallahu Akbar, Allahu Akbar wa lillahilhamd). Kerana ia amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, di jalanan, masjid dan sebagainya berdasarkan firman Allah yang bermaksud, Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas nikmat-Nya memberi hidayah kepada kamu). Juga dibenarkan pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala doa yang baik.

* Bertaubat dan meninggalkan segala maksiat dan dosa. Semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah. Manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Baginda bersabda, Sesungguhnya Allah cemburu (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya (Muttafaq alaihi).
* Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi lebih disukai oleh Allah jika dibandingkan pada hari-hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

* Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan solat-solat fardu (yang dikerjakan secara berjemaah). Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu Subuh hari Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikan haji, takbir bermula pada waktu Zuhur Hari Raya Haji (10 Zulhijjah). Kesemuanya berakhir sehingga waktu Asar pada hari ketiga belas Zulhijjah.* Disyariatkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunah (amalan) Nabi Allah Ibrahim a.s. setelah Allah mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya, Ismail a.s. tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

* Imam Muslim meriwayatkan daripada Ummi Salamah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (menyembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya daripada (memotong) rambut dan kukunya. Dan di dalam riwayat lain, Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban.''Terdapat persamaan perintah (agar tidak mengerat kuku, rambut atau bulu di badan) ini dengan mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah, maksudnya, Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Mekah) itu sampai ke tempatnya. (Al-Baqarah : 196).Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada tuan punya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya, melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya. Adalah tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

* Setiap Muslim hendaklah berusaha menunaikan solat Hari Raya Haji secara berjemaah, menunggu untuk mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnya setiap individu Muslim mengetahui hikmah di sebalik perayaan ini yang merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan di samping menjauhkan diri melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah, seperti mengerjakan maksiat, menyombong diri, bertengkar, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

* Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintah-Nya, menjauhi larangan-Nya, mendekatkan diri kepada-Nya. Semoga mendapat rahmat dan keampunan-Nya.

Kepada mereka yang menunaikan fardhu haji bersama kita berdoa semoga mereka pulang ke tanah air dengan selamatnya dan mendapat Haji "Mabrur"...amin.

Info di dapati melalui web: muslimini.blogspot.com

Retro 941

Last Saturday, minggu terakhir bulan November having Retro dengan lagu-lagu:-

Masmona-Jefrydin dan
Menaruh Harapan- Zaiton Sameon

Untuk minggu terakhir mencari juara mingguan, terima kasih pada yang ikut serta menceriakan Retro pada malam itu, kepada Lia...not me, namanya sebenar Nurliya, tahniah menjadi juara mingguan. Awal bulan Disember akan bersama dengan juara-juara mingguan sepanjang Retro di kendalikan yang mana mereka akan meneruskan perjuangan, siapakah di antara mereka yang akan terus mara ke peringkat seterusnya. Untuk itu jangan lupa bersama liyaaa menceriakan lagi malam minggu biskita.